PETALING JAYA: Paramount Corporation Bhd. (Paramount) menjalinkan usaha sama dengan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn. Bhd. (MFAM) bagi membangunkan projek pangsapuri servis The Ashbourne di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.34 bilion.
Menerusi kerjasama itu, Paramount akan menjual 49 peratus pegangan ekuiti dalam anak syarikat milik penuhnya, Meridian Kuasa Sdn. Bhd. (MKSB) kepada MFAM pada harga RM23.06 juta secara tunai.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Paramount berkata, selepas urus niaga itu selesai, syarikat akan mengekalkan pegangan sebanyak 51 peratus dalam MKSB, manakala baki 49 peratus dimiliki MFAM.
Katanya, projek The Ashbourne akan dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas kira-kira 1.5 hektar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.










