KUALA LUMPUR: Sapura Industrial Bhd (SIB) memperoleh kontrak dianggarkan bernilai RM307 juta daripada Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd (Chery) bagi pemasangan sistem gandar hadapan dan belakang untuk beberapa model kenderaan pengeluar automotif dari China itu.
Kontrak selama empat tahun setengah itu dimeterai menerusi Perjanjian Pembelian Induk (MPA) antara anak syarikat milik penuh SIB, Sapura Machining Corporation Sdn Bhd (SMC), dengan Chery.
Perjanjian itu menandakan kerjasama pembekalan langsung pertamanya dengan Chery, sekali gus menyokong usaha syarikat mempelbagaikan portfolio pelanggan dalam industri automotif.
Skop projek merangkumi pemasangan sistem gandar bagi platform kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan elektrik hibrid (HEV) dan kenderaan elektrik bateri (BEV).






