KUALA LUMPUR: Paramount Corporation Bhd menjalin kerjasama strategik dengan syarikat hartanah berpangkalan di Tokyo, Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn Bhd bagi membangunkan projek kediaman premium The Ashbourne di U-Thant, Kuala Lumpur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM1.3 bilion.

Menerusi usaha sama itu, Mitsui Fudosan akan memperoleh 49 peratus kepentingan ekuiti dalam Meridian Kuasa Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Paramount, pada harga tunai RM23.1 juta, manakala Paramount mengekalkan baki 51 peratus kepentingan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew, berkata pengambilalihan tanah berkenaan pada awal tahun ini adalah langkah strategik untuk memperkukuh kehadiran Paramount di pusat bandar Kuala Lumpur, selain meneruskan strategi pelaburan syarikat di lokasi yang mempunyai permintaan mampan.