Zurich: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menafikan dakwaan presidennya, Gianni Infantino menggunakan hubungan rapat dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk membantu pembantu rumahnya mendapatkan permit kerja di negara itu secara tidak sah.

Laporan New York Post mendakwa Yajarlin del Socorro Fernandez, 33, kelahiran Nicaragua, kehilangan kebenaran untuk menetap di AS selepas Trump membatalkan perjanjian membabitkan empat negara Amerika Tengah pada Jun 2025.

Bagaimanapun, Fernandez yang bekerja di kediaman Infantino di Miami dilaporkan masih menerima gaji daripada majikannya itu.

Infantino didakwa kemudian mendapatkan bantuan bekas ketua bolasepak AS, Carlos Cordeiro, bagi memudahkan urusan Fernandez untuk terus menetap di Florida, meskipun permohonan wanita itu menggunakan alamat yang didakwa palsu.