Jasin: Lebih 1,600 peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) di Melaka yang layak mengundi dinasihatkan supaya tidak sesekali terpengaruh dengan dakyah, fitnah serta maklumat palsu yang disebarkan melalui media sosial menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, berkata peserta perlu membuat pertimbangan secara rasional dan bijaksana dengan meneliti kesahihan setiap maklumat diterima sebelum membuat sebarang keputusan.
Beliau berkata, perkembangan teknologi komunikasi dan media sosial ketika ini membuka ruang kepada penyebaran pelbagai maklumat tidak tepat, termasuk fitnah serta usaha mengadu domba oleh pihak tertentu.








