JASIN: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Jezlee Pit memperkenalkan pelan pembangunan dikenali sebagai 'Mewajah Sungai Rambai Lima Tahun' bagi merancakkan lagi pembangunan di situ selain meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk.
Pelan berkenaan menggariskan beberapa perancangan yang akan diberikan perhatian dalam tempoh lima tahun, termasuk tiga cadangan utama iaitu mewujudkan bandar baharu Sungai Rambai, taman rekreasi bersepadu dan mini kompleks sukan bersepadu.
Jezlee atau lebih mesra disapa `Tok Jez' berkata, ketiga-tiga cadangan itu antara agenda ingin diusahakannya dengan kerjasama masyarakat setempat dan jabatan kerajaan bagi memastikan DUN Sungai Rambai terus membangun serta menyediakan kemudahan lebih baik kepada penduduk.






