Begonia rajah bukanlah nama asing dalam arena hortikultur antarabangsa kerana tumbuhan hiasan eksotik yang terkenal dengan permukaan daun bertona tembaga gelap serta urat hijau epal bersinar ini pernah memukau dunia botani Eropah pada akhir abad ke-19.
Hebatnya tumbuhan ini sehingga dianugerahkan Sijil Kelas Pertama oleh Royal Horticultural Society di England.
Hakikatnya, spesimen tumbuhan ini sekian lama dibiak dan diniagakan secara meluas dalam kalangan peminat tumbuhan hiasan di serata dunia, namun di sebalik kemasyhurannya, tersimpan satu ironi tragis.
Tatkala ia subur menghiasi pasu dan rumah hijau global, kelibat serta populasi asalnya di alam liar gagal dikesan di Terengganu sejak rekod pengumpulan terawal pada 1892.








