DHAKA – Pemilik kilang dan pemimpin kesatuan pekerja di Bangladesh bersetuju menyemak semula kadar gaji dalam industri pembuatan pakaian negara itu susulan protes selama beberapa hari oleh ribuan pekerja yang menuntut kenaikan gaji, menurut pegawai hari ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Persetujuan itu dicapai pada mesyuarat pertama jawatankuasa enam anggota yang dilantik kerajaan bagi merangka struktur gaji baharu untuk pekerja industri pakaian, kata wakil kesatuan pekerja Babul Akhter pada sidang media bersama di Dhaka.
Akhter berkata, struktur gaji yang disemak semula itu dijangka berkuat kuasa pada Disember, dengan pekerja menerima gaji lebih tinggi buat kali pertama pada Januari.
ABM Shamsuddin yang mewakili Persatuan Pengilang dan Pengeksport Pakaian Bangladesh dalam jawatankuasa itu, mengesahkan persetujuan berkenaan.









