DHAKA: Bangladesh akan menubuhkan lembaga gaji bagi mengkaji semula kadar upah pekerja industri tekstil susulan protes yang menyebabkan puluhan kilang ditutup, mencetuskan pertempuran dengan polis dan turut memberi tekanan baharu kepada sektor eksport utama negara itu.
Lapor Reuters, pekerja di negara Asia Selatan itu menuntut gaji minimum bulanan sebanyak 30,000 taka (RM980), lebih dua kali ganda berbanding kadar semasa 12,500 taka (RM408) berikutan peningkatan kos makanan, perumahan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan telah menjejaskan kuasa beli mereka dengan ketara.
Pertikaian itu mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan kepada industri yang menggaji kira-kira empat juta pekerja, menjana lebih 80 peratus pendapatan eksport Bangladesh serta membekalkan pakaian kepada banyak jenama terkemuka Barat.








