KUALA LUMPUR: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang mendarat di kawasan lapang berhampiran Perumahan Sri Pertiwi, Kidurong, dekat Bintulu, Sarawak hari ini sedang melakukan penerbangan reposisi.
Pengurus Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd (LLASB), Kapten Shahdon Poong, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.18 petang membabitkan helikopter bernombor pendaftaran 9M-LLE yang dikendalikan seorang juruterbang bersama dua juruteknik.
"Pihak syarikat ingin menjelaskan ketika kejadian, pesawat berkenaan tidak terbabit dengan misi penerbangan pemindahan perubatan (MEDEVAC) bagi pihak KKM mahupun Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).
"Pendaratan dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga dan bukan pendaratan kecemasan. Juruterbang dan dua juruteknik kekal selamat sepanjang pendaratan itu dan tiada kecederaan dilaporkan," katanya dalam kenyataan hari ini.









