DUBAI: Jake Paul berjanji akan menggantung sarung tangan dan bersara daripada sukan tinju sekiranya tewas kepada bekas juara dunia kickboxing dan petarung seni bela diri campuran (MMA), Cedric Doumbe pada pertemuan mereka di Dubai, 24 Disember ini.

Pertarungan lapan pusingan dalam kategori cruiserweight itu menjadi aksi pertama petinju Amerika Syarikat berkenaan sejak tewas menerusi hentian teknikal pada pusingan keenam kepada bekas juara heavyweight dunia, Anthony Joshua di Miami, Disember lalu.

Kekalahan itu menyaksikan Paul, 29, mengalami rahang patah sehingga memerlukan beberapa pembedahan.

Menerusi video di media sosial pada Selasa, Paul mengakui pertarungan menentang Doumbe bukan cabaran mudah, malah menganggap lawannya itu petarung berbahaya.