SHAH ALAM – Profesor semakin hilang tempat sebagai sumber ilmu utama apabila mahasiswa kini beralih kepada ChatGPT yang diangkat sebagai ‘guru baharu’ dalam pencarian pengetahuan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, perkembangan itu mencetuskan cabaran baharu kepada institusi pengajian tinggi apabila mahasiswa berdepan risiko terlalu bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) sehingga mengabaikan proses mendalami ilmu.
“Kalau dulu sering kali kita tahu bahawa mereka yang menguasai ilmu ialah para profesor kita, hari ini pelajar-pelajar kita sudah tidak lagi menganggap profesor itu sebagai sumber utama ilmu mereka.
“Sebaliknya mereka mempunyai guru yang baru iaitu guru yang mereka panggil “Guru ChatGPT”. Inilah cabaran kita juga sebenarnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik ke-17 di sini, malam tadi.








