TAMPIN – Enam beradik menangguhkan hasrat menduduki rumah mereka yang dibina menerusi program Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) apabila jalan kebun sepanjang 1.8 kilometer (km) ke kawasan kediaman itu di Kampung Ulu Rokan, Tampin dipenuhi pokok dan semak samun.

Laluan itu bukan sahaja me­nyukarkan perjalanan hingga boleh menyebabkan kenderaan rosak, malah mengundang bahaya kepada mereka sekiranya mahu berulang-alik jika ada urusan di tempat lain.

Wakil keluarga, Noor Zuurenn Mohd Fadzil, 41, berkata, mereka menunggu hampir lima tahun untuk tinggal di rumah sendiri selepas permohonan pembinaan rumah itu diluluskan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 2021.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan rumah di atas tanah keluarga seluas kira-kira 1.025 hektar itu bermula penghujung 2023.