Johor Bahru: Polis sedang menyiasat motif atau punca pergaduhan membabitkan tujuh lelaki di hadapan sebuah pusat beli-belah di Taman Bukit Indah, Skudai di sini, semalam.
Selain itu, polis turut dalam usaha mengesan mereka yang terbabit.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berhubung kejadian itu pada jam 10.27 malam.
Beliau berkata, pergaduhan itu turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah kereta awam yang berada di sekitar lokasi kejadian.









