Kuala Lumpur: Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pelaku jenayah siber di luar negara sekiranya jenayah berkenaan membabitkan sistem di negara ini atau mangsanya warga Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peruntukan itu terkandung dalam Fasal 2 Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026, mengambil kira sifat jenayah siber yang merentasi sempadan negara.

"Kerajaan juga menggunakan mekanisme kerjasama antarabangsa yang sedia ada untuk memastikan penjenayah luar negara dapat disiasat. Pelaku juga boleh didakwa dan jika memenuhi syarat akan diekstradisi ke Malaysia," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) sama ada kerangka perundangan sedia ada berkaitan jenayah siber memadai menangani penipuan dalam talian berasaskan kecerdasan buatan (AI) termasuk penyamaran identiti, deepfake dan manipulasi digital serta apakah peruntukan khusus yang diperkukuh bagi mempercepat tindakan terhadap sindiket dan melindungi mangsa.