KUALA LUMPUR: Sunway Construction Group Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, Sunway Construction Sdn Bhd menerima surat anugerah bagi kerja-kerja tambahan (LOAV) daripada syarikat teknologi multinasional beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS), bernilai kira-kira RM920.8 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan pembinaan itu memaklumkan kerja tambahan berkenaan membabitkan pemasangan mekanikal, elektrikal dan paip untuk pembangunan pusat data yang sedang dijalankan di Johor.
"LOAV itu turut berfungsi sebagai arahan untuk memulakan kerja berkenaan, yang disasarkan siap menjelang suku pertama 2028," menurutnya.
Sunway Construction Group memaklumkan kontrak kerja tambahan itu tidak akan menjejaskan modal saham kumpulan atau pegangan saham pemegang saham utamanya kerana tiada saham baharu akan diperuntukkan atau diterbitkan bagi tujuan kerja-kerja berkenaan.









