SINGAPURA: Parlimen Singapura pada Rabu meluluskan pindaan terhadap Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA), dengan perubahan utama termasuk peningkatan denda maksimum serta pengukuhan kuasa siasatan dan penguatkuasaan terhadap entiti yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Pindaan itu meningkatkan denda maksimum bagi kesalahan utama sebanyak 10 kali ganda daripada S$2 juta kepada S$20 juta, manakala denda harian dinaikkan daripada S$100,000 kepada S$1 juta bagi perbuatan menyebabkan atau menyumbang kepada kebakaran tanah atau hutan yang berisiko mengakibatkan jerebu di Singapura.

Pindaan berkenaan turut memperluas kuasa siasatan bagi mengesan hubungan komersial serta mengenakan sekatan terhadap pelbagai urusan perniagaan dan rantaian bekalan untuk memastikan entiti yang terlibat dipertanggungjawabkan, selain menghapuskan halangan undang-undang terhadap penguatkuasaan selaras dengan undang-undang antarabangsa.