Melaka: Seramai 64,000 belia di negeri ini disantuni menerusi pelbagai program pembangunan belia dan sukan dengan peruntukan RM1.6 juta oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sepanjang tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, peruntukan itu disalurkan bagi mempergiat program pembangunan akar umbi menerusi aktiviti sukan serta penglibatan dalam pertubuhan belia di Melaka.

Menurutnya, usaha berkenaan penting bagi memastikan lebih ramai anak muda mendapat peluang menyertai aktiviti pembangunan diri, selain membuka ruang kepada mereka mengembangkan potensi dan bakat masing-masing.

Katanya, pembangunan sukan di peringkat akar umbi perlu diberikan perhatian kerana ia menjadi platform penting untuk mengenal pasti serta mencungkil bakat baharu, termasuk dalam kalangan pelajar sekolah.