Melaka: Perang bendera PRN Melaka belum memuncak, namun Barisan Nasional sudah bersedia 'membirukan' kawasan Parlimen Tangga Batu dengan 15,000 bendera.

Pemasangan digerakkan jentera Pemuda BN itu membabitkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Udang, Klebang, Pantai Kundor dan Paya Rumput.

Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, keadaan kempen yang masih belum rancak termasuk ketiadaan perang bendera secara besar-besaran bukan petanda jentera parti tidak bergerak.

Sebaliknya, kata beliau, pemasangan bahan kempen hanya mula rancak selepas proses penamaan calon selesai dan dijangka lebih meriah dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.