DALAM kerangka pembangunan inklusif, kejayaan ekonomi tidak sewajarnya diukur melalui pelaburan besar dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata, sebaliknya juga berdasarkan sejauh mana kemakmuran negara dapat diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, pendapatan dan taraf hidup rakyat, khususnya masyarakat berpendapatan rendah.

Pendekatan inilah yang diberikan penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui pelaksanaan Skim Usahawan Bangkit, sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan penjaja, peniaga kecil dan usahawan mikro menerusi bantuan langsung berasaskan keperluan sebenar perniagaan.

Pelancaran Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan oleh Perdana Menteri di Kota Bharu, kelmarin, menjadi kesinambungan usaha berkenaan bagi memperluas manfaat pembangunan ekonomi kepada masyarakat akar umbi.