KUALA LUMPUR: Projek Kedah Rubber City (KRC) berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM3.344 bilion membabitkan lima pelabur utama setakat September 2026, menurut Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata, selain pelabur sedia ada, kerajaan kini dalam peringkat perbincangan dengan tiga lagi pelabur berpotensi yang berminat untuk melabur di hab perindustrian getah itu, dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM450 juta.
"Setakat September 2026, KRC telah berjaya menarik lima pelabur komited dengan nilai pelaburan keseluruhan berjumlah RM3.344 bilion.
"Di samping itu, terdapat tiga pelabur berpotensi lagi yang sedang dalam proses perbincangan dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM450 juta," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.










