KUALA LUMPUR: Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) akan menganjurkan edisi ketiga acara Jom Jalan Bersama NPC 2026, iaitu acara berjalan kaki kompetitif dan santai di Bukit Kiara di sini pada 13 Disember ini.

NPC dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil kutipan daripada acara tahun ini akan disalurkan kepada Tabung Kebajikan Wartawan NPC bagi membantu pengamal media yang memerlukan sokongan kewangan.

Menurut kenyataan itu, acara berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selain beberapa rakan korporat termasuk Institut Jantung Negara (IJN), Prince Court Medical Centre, Grab, Destini Berhad dan Zico Trust.

Acara itu menawarkan beberapa kategori, iaitu Jalan Kaki 7 Kilometer (km) bagi Lelaki dan Wanita (Terbuka dan Veteran) serta Lelaki dan Perempuan (Bawah 18 Tahun); dan Jalan Kaki Santai 5 km yang terbuka kepada semua peringkat umur, dengan peserta berusia 18 tahun dan ke bawah serta berusia lebih 60 tahun akan menikmati yuran penyertaan pada kadar diskaun.