KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju dengan cadangan satu lagi penganjuran temasya sukan kebangsaan, sebagai platform pertandingan bagi merapatkan jurang pembangunan atlet selepas Sukan Malaysia (SUKMA) yang tertumpu kepada atlet bawah 21 tahun.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) keenam Bilangan 1 Tahun 2026, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Menurut KBS, mesyuarat berkenaan turut bersetuju dengan pelaksanaan Pelan Bakat Sukan Kebangsaan (MyTP) bagi membentuk laluan pembangunan bakat yang lebih terancang, bersepadu dan berterusan.

"Mesyuarat mengambil maklum status Program Pembangunan Bakat bagi Lapan Disiplin Bukan Sukan Teras dan pelaporan pelaksanaan Program Badan Beruniform, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas peluang penyertaan dan pembangunan bakat," menurut KBS dalam kenyataan hari ini.