HULU KLANG: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersedia mempertimbangkan cadangan pelakon, AR Badul bagi mewujudkan dana khas bagi penerbitan drama bersiri yang membabitkan penggiat seni veteran.
Menurut Pengerus FINAS, Datuk Hans Isaac, cadangan tersebut akan dibawa ke peringkat jawatankuasa Kementerian Komunikasi dan Ahli Perbadanan untuk penelitian kerana berpotensi untuk direalisasikan menerusi Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) sedia ada.
“Cadangan itu sangat baik. Apa yang saya nyatakan tadi, saya akan bawa perkara itu kepada jawatankuasa untuk berbincang.
“Kita ada Dana STAR yang diperuntukkan daripada bajet tahunan industri. Jadi, mungkin boleh sesuaikan dana untuk format drama bersiri,” katanya ketika ditemui pada program Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35), pada Rabu.








