MACHANG - Seorang penunggang motosikal Yamaha Y15ZR maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios di Kampung Belukar Panjang, Temangan di sini pada Rabu.Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 28 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Paloh Rawa menghala ke Temangan.Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan kereta berkenaan."Keadaan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung secara berdepan."Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Ujar beliau, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris keluarga.Jelasnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Polis sedang mengesan saksi bebas yang berada di lokasi kejadian selain meneliti rakaman CCTV (kamera litar tertutup) berhampiran bagi melengkapkan siasatan."Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 09-9751222 atau hadir ke balai polis berhampiran," katanya.