KAJANG – Seorang pelajar sekolah berusia 15 tahun maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 301.5 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 pagi ketika sebuah motosikal jenis SYM dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Perodua yang sedang bergerak lurus.
“Akibat perlanggaran tersebut, motosikal berkenaan terjatuh di atas jalan raya sebelum dilanggar dua motosikal lain yang datang dari arah belakang di lorong sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penunggang motosikal SYM yang merupakan pelajar sekolah berusia 15 tahun itu disahkan maut di lokasi kejadian.










