TANGGA BATU - Pengundi di Melaka tidak seharusnya memandang rendah kemampuan calon muda yang diketengahkan parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya memberi peluang kepada generasi baharu membuktikan kebolehan dalam kepimpinan.Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kemunculan lebih ramai calon muda dalam PRN Melaka merupakan perkembangan positif dan mencerminkan peningkatan minat golongan berkenaan terhadap politik serta pentadbiran negara.Menurutnya, faktor usia bukan ukuran utama kemampuan seseorang calon, sebaliknya kebolehan, tenaga dan idealisme yang dibawa perlu turut diberikan perhatian."Kita lihat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Kuala Linggi dan Ayer Molek sebagai contoh calon muda. Ini menunjukkan penekanan serta pemberian peluang kepada anak muda benar-benar subur dalam politik negara kita."Walau apa pun, kita tidak boleh memandang rendah calon-calon muda, tetapi mesti memberikan sokongan supaya proses peralihan atau pergantian kepimpinan dapat terus berlangsung dari semasa ke semasa," katanya pada Rabu.Beliau ditemui pada Program Futsal 3 Penjuru Sempena Jelajah Rakan Muda @ Klebang 2026 di Gelanggang Futsal Rumah Awam Pulau Gadong di sini.Beliau yang Ahli Parlimen Sungai Petani menyeru pengundi supaya menilai calon berdasarkan prestasi dan kemampuan memberikan perkhidmatan, bukannya faktor usia."Saya juga menyeru pengundi memilih calon muda yang bertenaga serta memberikan ruang dan peluang kepada mereka untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan masyarakat," katanya.Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut komited melahirkan lebih ramai pemimpin muda menerusi pelbagai program pembangunan kepimpinan dan penglibatan dalam pertubuhan belia.Katanya, usaha itu bertujuan memberikan ruang kepada golongan muda untuk membina pengalaman serta mempersiapkan diri memikul tanggungjawab kepimpinan dan pentadbiran pada masa hadapan.Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, kementeriannya komited memastikan usaha memperkasakan sukan di peringkat akar umbi terus dilaksanakan.Katanya, di Melaka sahaja, KBS telah melaksanakan pelbagai program melibatkan golongan muda dengan peruntukan sebanyak RM1.6 juta, yang memberi manfaat kepada lebih 52,000 anak muda termasuk menerusi program sukan.