SEREMBAN: Solat Zuhur yang ditunaikan jemaah Masjid Kuala Klawang di Jelebu bagi menggantikan solat Jumaat pada 30 Oktober lalu tidak sah.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin berkata sehubungan itu semua jemaah terbabit diwajibkan untuk qada solat Zuhur itu.
Beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bermuzakarah 3 November lalu membuat keputusan itu selepas meneliti dan menimbang isu berkenaan.
Mengulas lanjut, katanya apabila sesebuah masjid atau surau atau mana-mana tempat yang ditetapkan pihak berkuasa agama sebagai tempat pelaksanaan solat Jumaat bagi sesuatu kawasan kariah dan syarat wajib solat Jumaat dipenuhi, maka wajib ke atas mana-mana individu yang memenuhi syarat kewajipan itu untuk menunaikan solat Jumaat di tempat berkenaan.








