Seremban: Jemaah yang menggantikan solat Jumaat dengan solat Zuhur di Masjid Kuala Klawang, Jelebu, pada 30 Oktober lalu diwajibkan mengqada solat Zuhur itu kerana ia adalah tidak sah.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin berkata, Jabatan Mufti Negeri Sembilan mengambil maklum berhubung isu kegagalan mendirikan solat Jumaat di masjid berkenaan, Jumaat lalu.
"Masjid dan surau yang ditentukan sebagai tempat pelaksanaan solat Jumaat oleh pemerintah adalah tempat penyatuan ummah, lambang syiar Islam serta medan pelaksanaan perintah Allah SWT.
"Sehubungan itu, memelihara fungsi institusi itu serta memastikan solat Jumaat dapat dilaksanakan adalah tanggungjawab bersama pihak berkuasa agama, jawatankuasa kariah dan seluruh umat Islam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.










