SEREMBAN – Jabatan Mufti Negeri Sembilan belum menerima makluman rasmi berhubung kronologi isu pelaksanaan solat zuhur sebagai ganti solat Jumaat yang berlaku di Jelebu.
Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Faudzinaim Badarudin berkata, pihaknya masih belum mendapat sebarang maklumat rasmi berhubung perkara itu daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
“Jabatan Mufti belum mendapat makluman rasmi kronologi isu yang berlaku di Jelebu daripada JHEAINS. Oleh itu, jabatan tidak dapat memberikan apa-apa ulasan setakat ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Kosmo! Online, 30 Oktober lalu melaporkan kira-kira 250 jemaah di sebuah masjid di Masjid Jamek Kuala Klawang, di sini, tidak menunaikan solat Jumaat hari ini, sebaliknya menunaikan solat zuhur susulan peletakan jawatan imam yang ‘keberatan’ membaca nama Undang Luak Jelebu yang baharu dalam khutbah Jumaat.










