SUBANG: Kerajaan menjimatkan RM3 bilion menerusi kaedah pajakan 28 helikopter untuk kegunaan agensi kerajaan termasuk dua AW139 yang diagihkan untuk kegunaan armada udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dua AW139 baharu yang dilengkapi Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Helikopter (HEMS) itu menjadikan keseluruhan aset udara JBPM kini 10 helikopter.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata pendekatan pajakan berbanding pembelian itu turut menyerahkan tanggungjawab penyelenggaraan kepada pihak syarikat sepanjang tempoh 15 tahun.

"Dulu kita terpaksa beli. Kita kini buat sistem pajakan 'and we are now maintenance free' (dan kini sekarang tak perlu lagi penyelenggaran)," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pengoperasian Helikopter AW139 JBPM di sini, hari ini.