Georgetown: Keselamatan pembangunan di kawasan lereng bukit di Pulau Pinang tidak boleh dinilai hanya berdasarkan usia pembangunan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pelbagai faktor.

Faktor berkenaan termasuk keadaan geologi dan tanah, reka bentuk kejuruteraan serta sistem saliran.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM) Ir Ts Dr Mastura Azmi berkata, ia berikutan setiap lokasi mempunyai keadaan dan tahap risiko berbeza, susulan itu penilaian perlu dibuat berdasarkan data serta pemeriksaan teknikal.

Katanya, keselamatan cerun bukan sahaja perlu dinilai ketika sesuatu pembangunan dibina, malah perlu dipantau secara berterusan kerana keadaannya boleh berubah dari semasa ke semasa.