ALOR SETAR – Sebuah premis makanan di Kulim yang tular selepas dibongkar seorang penghantar makanan kerana didakwa kotor diarah tutup selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya hanya 37.5 peratus.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, pihaknya mengambil maklum aduan tular di media sosial berhubung keadaan kebersihan premis yang menjalankan perniagaan melalui platform penghantaran makanan dalam talian itu.

“Susulan aduan tersebut, pemeriksaan telah dijalankan pada kelmarin dan mendapati aduan berkenaan adalah berasas.

“Penilaian mendapati premis memperoleh markah penilaian kebersihan hanya 37.5 peratus dengan beberapa ketidakpatuhan serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.