KUCHING: Semua komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) sepakat memberi mandat penuh kepada Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, untuk menentukan calon yang akan bertanding di semua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN-13) Sarawak.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata keputusan itu dipersetujui semua parti komponen GPS dalam mesyuarat gabungan berkenaan sebelum ini.
"Semua bersetuju dan menyokong serta memberi mandat kepada pengerusi untuk membuat keputusan berhubung calon," katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB yang dipengerusikan Abang Johari, di sini, hari ini.









