PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, pihak pendakwaan belum dapat menyerahkan notis rayuan secara fizikal kepada bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther, yang kini berada di United Kingdom (UK).

Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling, berkata pihak berkuasa di UK dan Ireland gagal mengesan Muhammed Yusoff atau menyampaikan notis itu kepadanya meskipun bantuan Interpol telah dimohon.

"Pihak pendakwaan dimaklumkan bulan lepas, bahawa usaha mengesan responden tidak berhasil... pihak berkuasa juga tidak mempunyai maklumat berhubung permohonan suaka yang dikemukakan," katanya pada prosiding pengurusan kes di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K. Muniandy.