Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini memberikan tempoh sehingga 3 Februari depan kepada pihak pendakwaan untuk meneruskan usaha mengesan Muhammed Yusoff Rawther dan menyampaikan notis kehadiran kepadanya bagi pendengaran rayuan terhadap pembebasan daripada tuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azman Abdullah menolak permohonan pihak pendakwaan supaya prosiding berkenaan dipertimbangkan untuk dijalankan menerusi aplikasi Zoom bagi mengelakkan kewujudan duluan (precedent) yang tidak perlu dengan memberikan pengecualian dalam kes itu.

Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling, memaklumkan mahkamah bahawa pihak berkuasa di United Kingdom (UK) dan Ireland gagal mengesan bekas pembantu penyelidik kepada seorang ahli politik itu atau menyampaikan notis berkenaan kepadanya, meskipun bantuan Interpol di UK sudah diminta.