ISTANBUL: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memulakan lawatan kerja ke Turkiye esok sempena penyertaannya dalam TRT World Forum 2026 yang dijadualkan berlangsung 6 dan 7 November ini.

Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Adlan Mohd Shaffieq, berkata lawatan sehingga 8 November itu turut merangkumi pertemuan dengan Naib Presiden Turkiye, Cevdet Yilmaz.

"Timbalan Perdana Menteri akan mengambil bahagian sebagai ahli panel dalam forum berkenaan yang akan dirasmikan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

"Timbalan Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Lubnan, Timbalan Perdana Menteri Lubnan, Tarek Mitri, di Istanbul Convention Centre, lokasi berlangsungnya TRT World Forum," katanya pada sidang media sempena lawatan Ahmad Zahid, hari ini.