KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan bermesyuarat esok, dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus bagi sepanjang 2027 berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan unjuran inflasi yang terkawal, menurut BMI.

Unit di bawah Fitch Solutions itu membuat unjuran berkenaan berdasarkan jangkaan inflasi keseluruhan kekal dalam lingkungan sasaran BNM dalam julat 1.5 peratus hingga 2.5 peratus dalam masa terdekat.

"Prospek perbelanjaan pengguna juga secara keseluruhannya kekal positif, disokong oleh pasaran tenaga kerja yang berdaya tahan dengan kadar pengangguran pada 3.1 peratus manakala inflasi kekal di bawah had maksimum sasaran BNM iaitu pada 2.5 peratus.

"Meskipun peningkatan hasil petroleum dan dividen Petronas akan menyokong kedudukan fiskal Malaysia, isi rumah akan terus berdepan tekanan berikutan dasar fiskal lebih ketat serta peningkatan kos sara hidup," maklum BMI dalam kenyataan hari ini.