ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 2 tan abu al-Quran dilarutkan secara tertib di perairan Johor di Gelang Patah, di sini hari ini.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Negeri, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Johor, Ismainur Hadi Amat Bakeron, berkata Program Pemurnian Al-Quran itu bertujuan memastikan teks dan bahan al-Quran yang tidak lagi boleh dibaca, diuruskan secara teratur dan sempurna.
Beliau berkata, ia bagi memelihara kesucian serta kemuliaan ayat suci daripada sebarang bentuk pencemaran, penyalahgunaan atau pengendalian yang tidak sewajarnya.
Katanya, pemurnian terbabit diadakan selepas selesai 36 kertas siasatan berkaitan rampasan membabitkan 1,414 naskhah merangkumi teks dan bahan al-Quran yang bernilai keseluruhan RM39,854.










