Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan tidak pernah mempertikaikan, mengetepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

AGC dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong serta mengiktiraf prerogatif pengampunan Baginda sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, persoalan yang dibangkitkan oleh AGC bukanlah mengenai keesahan atau kewibawaan Perintah Pengampunan Bersyarat berkenaan.

"Sebaliknya, persoalan yang memerlukan penentuan adalah berhubung kesan undang-undang Perintah Pelepasan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November 2026 terhadap baki hukuman penjara dalam kes SRC International, serta implikasinya terhadap tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1MDB," katanya.