KUALA LUMPUR: Kelebihan satu gol belum cukup untuk menjamin tiket ke final Piala FA apabila Selangor FC perlu memastikan ketajaman di depan gawang berada pada tahap terbaik ketika berdepan Kuching City FC dalam aksi kedua separuh akhir, esok.

Pengendali Gergasi Merah, Kim Pan Gon mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengulangi kesilapan mensia-siakan peluang terhidang kerana kegagalan menyudahkan kesempatan boleh mengundang padah dalam perlawanan penting itu.

Selangor membawa bekalan kemenangan 2-1 hasil aksi pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 23 Oktober lalu, dengan Eduardo Sosa muncul wira menerusi dua jaringan pada minit ke-19 dan ke-58 selepas Kuching City terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ramadhan Saifullah pada minit kesembilan.