JEDDAH: Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi akan menyertai Persidangan dan Pameran Haji edisi keenam bertema 'Dari Makkah ke Dunia' bermula esok hingga 11 November ini melalui sebuah pavilion di Jeddah Superdome, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Menerusi pavilion dan sesi perbincangan panel, kementerian itu akan mengetengahkan usaha serta inisiatif dalam bidang perkhidmatan, penjagaan kesihatan, kemanusiaan dan keselamatan.

Ia termasuk mempamerkan sistem dan peralatan keselamatan yang dipertingkatkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta penyelesaian digital bagi pengurusan orang ramai serta kawasan Tanah Suci.

Kementerian itu juga akan mengetengahkan kempen 'Tiada haji tanpa permit' bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai peraturan dan arahan haji, selain Inisiatif Laluan Makkah yang memudahkan perjalanan jemaah haji dari negara asal mereka.