Jakarta: Polis Indonesia menamakan seorang lagi pegawai kanan sebagai suspek keempat dalam kes dakwaan pemasangan alat pengintip bagi memintas perbualan Presiden Prabowo Subianto ketika siasatan giat dijalankan bagi mengenal pasti motif di sebalik skandal yang mendedahkan keretakan hubungan antara presiden itu dengan pendahulunya, Joko Widodo atau Jokowi.

Skandal berkenaan menambah tekanan terhadap Prabowo ketika rakyat semakin tidak berpuas hati dengan dasar populisnya yang menelan belanja besar selain kemerosotan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara bernilai AS$1.5 trilion (kira-kira RM6.09 trilion).

Pada sidang media lewat malam Khamis, polis menamakan pegawai kanan berinisial SU sebagai suspek baharu. Beliau pernah mengetuai unit pemantauan di Agensi Siasatan Jenayah Indonesia dari 2010 hingga 2019 sebelum dikenal pasti media tempatan sebagai Slamet Uliandi.