Kehadiran kali ketiga ke Kuala Lumpur bukan sekadar rutin memenuhi jemputan pentas, sebaliknya penyanyi kelahiran Indonesia, Rizky Febian mahu meninggalkan impak bermakna menerusi konsert solonya, Malam Rawan Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur.
Bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada 29 November depan, penyanyi berusia 28 tahun ini menegaskan keengganannya untuk sekadar menyanyi kosong tanpa jiwa.
Mengakui belum berpuas hati dengan dua kunjungannya sebelum ini, Rizky meletakkan syarat jelas kepada pihak penganjur agar persembahannya kali ini digarap dengan penceritaan yang kukuh.
Bagi Rizky, judul 'Diorama' dipilih kerana ia mewakili wadah imaginasi untuk mencurahkan visual dan rasa terbuku di mindanya demi menghiburkan penonton.








