SORAKAN kegembiraan dan kibaran Jalur Gemilang menjadi saksi kejayaan sekumpulan anak muda mengharumkan nama Malaysia menerusi seni tari di pentas antarabangsa.
Usaha mereka membuahkan hasil apabila dinobatkan johan (1st prize) atau pemenang pingat emas bagi kategori Folk Dance Ensemble (Tarian Rakyat Berkumpulan) dalam International Competition Dance and Music Mediterranean Folkfest Lloret de Mar 2026 di Sepanyol baru-baru ini.
Di sebalik detik membanggakan itu, tersimpan kisah latihan yang panjang, pengorbanan masa dan debaran yang mengiringi setiap langkah di pentas pertandingan.
Bagi penari muda, Muhammad Iman Qaliph Mohamad Saipol Bahri, 16, pengalaman di Sepanyol bukan sekadar tentang kemenangan, malah menjadi perjalanan untuk mengenal erti disiplin, kebersamaan dan kebanggaan mewakili tanah air.








