KUALA LUMPUR: Kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, terus menjadi tumpuan wartawan ketika persoalan sama ada bekas Perdana Menteri itu akan dibawa pulang untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah hari ini belum terjawab.\
Setakat jam 1 tengah hari tadi, lebih 10 petugas media berkumpul di sekitar kawasan kediaman berkenaan bagi mengikuti perkembangan terkini.
Bagaimanapun, tiada perubahan atau peningkatan kawalan keselamatan dikesan di kawasan kediaman itu setakat waktu berkenaan.
Perhatian kini tertumpu kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini yang menyentuh pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib.










