PETALING JAYA – Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi berdepan hukuman kewangan apabila dikenakan denda AS$13,200 (RM53,600) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) susulan tiga kesalahan disiplin dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Buriram United, 15 September lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak AS$2,250 (RM9,135) dikenakan kerana kelewatan memulakan babak kedua selama dua minit, manakala pengendali pasukan, Xisco Munoz turut didenda AS$1,500 (RM6,090) kerana gagal memastikan pemain bersedia mengikut jadual rasmi.

Perkembangan itu mengingatkan kepada isu kewangan JDT sebelum ini apabila kelab berkenaan dikenakan levi 2.5 peratus oleh FIFA susulan kelewatan pembayaran pampasan latihan berjumlah 44,878.68 euro (kira-kira RM215,000), membabitkan urusan perpindahan dua pemain.