TEHERAN: Iran dilaporkan giat membina dan membaik pulih sekurang-kurangnya dua tapak peluru berpandu utama serta 12 pangkalan tentera lain yang sebelum ini menjadi sasaran serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Siasatan BBC berdasarkan imej satelit mendapati kerja penggalian dan pembinaan sedang dijalankan di pangkalan Garmdareh dan Shahroud, menurut analisis syarikat perisikan British, MAIAR.

Kerja pembaikan turut dikesan di beberapa lokasi lain, termasuk pemasangan bumbung baharu pada bangunan di pangkalan peluru berpandu Kermanshah, di barat Iran berhampiran sempadan Iraq.

Di kompleks ketenteraan Parchin, timur Teheran, kerja membersihkan runtuhan turut dikenal pasti. Semua lokasi berkenaan pernah terjejas akibat serangan ketenteraan AS dan Israel sepanjang tahun lalu.