SUBANG JAYA: FamilyMart Malaysia memperkenalkan konsep baharu, Life is Good with FamilyMart, bersempena sambutan ulang tahun ke-10 operasinya di negara ini, dengan menawarkan pilihan makanan dan minuman lebih pelbagai serta pengalaman membeli-belah yang diperbaharui.

Konsep berkenaan berteraskan tiga tunjang utama iaitu Good Choices, Good Quality dan Good Moments bagi meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi pilihan produk berkualiti, kemudahan harian serta pelbagai tawaran eksklusif.

Antara pembaharuan diperkenalkan ialah rangkaian kopi kraf Everyday Craft Coffee yang diinspirasikan daripada seni pembuatan kopi Jepun, takumi, menerusi dua pilihan baharu iaitu Sumiyaki dan Kinu.

Sumiyaki menawarkan rasa kopi hitam yang lebih pekat dengan aroma panggang, manakala Kinu mempunyai rasa lebih lembut dan seimbang, sesuai dinikmati bersama susu terutama dalam bentuk latte.