PETALING JAYA: Sebarang hujah mempertikaikan Titah Pengampunan Diraja yang dikeluarkan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani tahanan di rumah selepas membayar denda RM50 juta, menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Istana Negara dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Najib di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu yang turut dihadiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara, telah memberikan nasihat yang sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.